Kami warga e-kupon ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tulus ikhlas kepada semua pendidik yang telah menabur khidmat bakti di seluruh pelosok negara. Cabaran sebagai seorang guru pastinya tidak semudah yang dilihat. Tugas yang berat dan bebanan yang besar adalah amanah yang dipikul oleh para guru. Guru merupakan profesion yang paling dipercayai sejak zaman dahulu hingga kini di era digital, menjadi tonggak masyarakat dan pelaku pembangunan peradaban bangsa.
Kita semua boleh bersetuju bahawa pembangunan Malaysia yang tercinta ini harus menumpu bukan sahaja kepada aspek lahiriah dan pembangunan fizikal, tetapi yang paling utama adalah pembinaan jati diri dan keterampilan warganya. Pendidikan merupakan proses memanusiakan manusia, membantu kita membebaskan diri daripada kejahilan, menerapkan nilai dan prinsip kemanusiaan, serta membangun bersama masyarakat. Teknologi pula hadir sebagai pelengkap dalam pendidikan, membantu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Dalam semangat ini, guru-guru digital yang berdedikasi memainkan peranan penting dalam mengintegrasikan teknologi secara efektif dalam pendidikan, memastikan murid-murid mahir dan beretika dalam penggunaan peranti digital. Aspirasi negara MADANI mensasarkan untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan guru ke tahap jauhari digital, menjadikan mereka barisan hadapan dalam menghadapi cabaran zaman dan memimpin perubahan dalam pendidikan negara.
Sebagai penghargaan buat guru, kami di e-kupon menganjurkan peraduan khas sempena hari guru yang diedarkan kepada semua pelajar sekolah yang menggunakan sistem e-kupon. Borang peraduan juga boleh dimuat turun di sini.
Selamat Hari Guru!